top of page

Tahun Baru

Saat berganti minit,

Minit berganti jam,

Jam berganti hari,

Hari berganti minggu,

Minggu berganti bulan,

Bulan berganti tahun,

Dan kembali berulang,

Dari saat hinggalah ke tahun,

Berulang-ulang dengan Tertibnya,sehinggalah 'saat' ini dihentikan Oleh yang Maha Berkuasa.

 

Selagi kita berpeluang menikmati dari Tahun ke tahun,

Selagi itu jugalah tidak terkuburnya azam kita,

Kebaikan demi kebaikan yang diharapkan,

Bertambah-tambah dari tahun ke tahun.

Hanya mampu melaksanakan,

Atau

Sekadar berpinggiran dilubuk hati.

 

Aku berharap,

Tahun yang berganti ini,

Dapat mengupload sebanyak mungkin Imanku,

Dapat menginstall versi mazmumah Kepada mahmudah,

Dapat mendelete segala perasaan iri hati,

Dan sentiasa setting niat untuk perkara Yang mulia.

 

Nukilan,

Nur Yazida (2012)

Sajak ini telah dicipta pada malam 1 Januari 2012 sempena kedatangan tahun baru. Tiba-tiba terdetik di hati penulis untuk mencoretkan sebuah nukilan tentang "Tahun Baru". Sesiapa yang membaca sajak ini pasti telah menempuhi "Tahun Baru" beberapa kali dalam hidup. Setiap tahun pasti ada saja azam baru yang kita harapkan. Tapi persoalannya, adakah azam yang sama itu dibawa dari tahun ke tahun? Tepuk dada, hati ada jawapannya. 

Tahun Baru

Warkah Buat Sahabat

Duhai sahabat..

Andai perkenalan kita ini diredhai Allah

Engkau genggamlah ukhuwah ini

Dengan keikhlasan yang kudus

Dengan rasa cinta kepada Illahi

 

Duhai sahabat...

Tatkala air mata turun laju membasahi pipiku

Kau hadir di sisiku meminjamkan bahu

Untukku lepas segala tangis yang terpendam di hati

Lalu kau tatap wajahku

Dan kau hadiahkan ukiran senyum terindah buatku

 

Duhai sahabat...

Di saat aku terleka akan cinta terhadap duniawi

Kau berulang-kali menegurku dengan selembut-lembut perkataan

Kau datang kepadaku membisikkan kalimat Illahi...

"Cinta dunia tidak ke mana, kejarlah cinta Allah,

InsyaAllah kita ke Al-Jannah!"

Dan aku tersedar dari buaiku...

 

Duhai sahabat...  

Sesalku tidak terungkap Sewaktu dulu aku mencarik sukmamu

Sewaktu dulu aku mengguris perasaanmu

Kau tidak mengungkitnya kembali...

Sesungguhnya hatiku terkesan dengan kata-katamu

 "Aku sayangi engkau demi Allah,

Aku sayangi engkau kerana Allah,

Dan aku tidakkan mahu memutuskan ukhwah ini, kerana Allah...”

 

Duhai sahabat...

Masihku ingati peristiwa itu

Tika ada perselisihan faham antara kita

Akibat aniaya orang ketiga

Kau duduk di hadapanku dengan linangan air mata teresak-esak

Kau tebalkan muka memohon maaf kepadaku walau itu bukan salahmu

Dan aku cuba menyembunyikan

Cucuran manik-manik jernih yang tidak dapat ditahan lagi

"Allah sedang menguji kita,

sejauh mana kuatnya kita mempertahankan,

Ikatan persahabatan yang kita jalinkan ini..

" Dan aku terangguk-angguk sedangkan hati ini masih celaru

Kau genggam tanganku Dan aku yakin,

kaulah sahabatku yang satu...

 

Duhai sahabat...

Tika itu aku merasa sebak

Beruntungnya aku mempunyai sahabat sepertimu...

Sedangkan aku tidak pernah berterima kasih

 

Duhai sahabat... Aku berharap agar aku mampu

Menjadi seorang sahabat sama sepertimu

Sahabat yang menyayangi sahabatnya,

Sahabat yang mengasihi sahabatnya,

Hanya kerana ketulusan cinta kepada Allah

Lalu aku panjatkan kesyukuran ke hadrat Illahi

Moga Allah utuhkan ukhuwah kita Yang terjalin selama ini...

Berterusan hinggalah ke Al-Jannah...InsyaAllah!

Dengan setitis air mata

Aku mahu mengkhabarkan kepadamu sesuatu,

Sesuatu yang tidak pernah ku ungkapkan pada zahirnya...

Daku sangat menyayangimu duhai sahabatku...

 

Sumber:

Warkah Cikgu Amirul 2U

 

 

Sajak ini merupakan sumber yang diambil daripada internet. Dalam kebanyakan sajak yang penulis lihat, sajak ini memberi kesan yang mendalam terhadap diri penulis. Penulis pernah membawakan sajak ini di dalam sebuah program di UUM, dan penulis mendapati daripada riak wajah yang dipaparkan penonton seolah-olah mereka turut mendalami maksud disebalik sajak ini. Jadi buat para pengunjung cuba hayati setiap bait-bait kata yang dinyatakan di dalam sajak ini. Pasti menyentuh jiwa.

Warkah Sahabat

Pertemuan & Perpisahan

2013,

Itulah saat pertama kaki ini mengorak langkah,

Menjejakkan kaki di bumi rimba hijau,

Demi mengejar cita dan impian,

Membawa bersama harapan orang tua,

Dengan lindungan doa mereka.

 

Hari terus berlalu,

Dan kaki terus melangkah,

Dari berseorangan, kini berteman,

Dari berteman, kini bersahabat

Tanpa sedar aku kenali kau,

Kau kenali aku,

Dan ukhwah yang dibina

Semakin mnyimpulkan tali persahabatan

Dan ianya tidak mudah untuk diputuskan begitu sahaja.

 

Bila bersama,

tangis yang bercucuran menjadi tawa,

duka yang menjelma menjadi bahagia

indahnya saat itu,

umpama bulatan bumi ini kita yang punya.

 

Namun,

Yang indah itu tidak akan kekal selamanya,

Adakalanya kan dicemari racun-racun bahaya,

Saat hubungan yang indah itu terbina,

Muncul pula perselisihan antara kita

Yang dalam diam

Merenggangkan tali persahabatan itu.

Lantas kau dan aku tersedar,

Sanggupkah untuk melihat tali itu terjurai satu persatu?

Tidak!

Kita mahu tali itu ditautkan semula.

 

2015,

Tanpa sedar sudah jauh rupanya kita berjalan,

Masa sudah mula mencemburui kita,

Hadirnya dia mahu memisahkan kita.

Namun, kita juga makin mencapai cita dan impian.

 

Nukilan,

Nur Yazida

Pertemuan

Hak Cipta Terpelihara © 2015 Pentas Puisi

bottom of page