top of page

Karya Dari Hati

Tentang Penulis

Nama diberi Nur Yazida Binti Sabarudin. Merupakan anak sulung dari tujuh orang adik beradik. Berasal dari Rawang, Selangor. Mendapat pendidikan awal kanak-kanak di Pra-sekolah Tg. Besar, Pahang dan Tabika Kemas Sungai Choh, Selangor.  Kemudian mendapat pendidikan rendah di S.K Serendah, Selangor dan pendidikan menengah di S.M.K Serendah, Selangor. Seterusnya berpeluang memasuki Tingkatan 6 di S.M.K Sg Choh. Kini, menyambung pelajaran di dalam bidang ISMP (Pengurusan Perniagaan) di UUM, Sintok.

 

Semasa sekolah, sangat aktif dalam kelab & persatuan dan diberi peluang memegang beberapa jawatan dalam kelab & pesatuan dan badan kepimpinan pengawas dan pusat sumber sekolah. Minat terhadap bidang pemuisian mula muncul ketika berada di Darjah 3. Ketika itu sebuah pertandingan mendeklamasikan syair telah diadakan di sekolah. Pada mulanya, cuba untuk menyertai pertandingan tersebut hanya suka-suka tetapi tidak menyangka di penghujung pertandingan berjaya meraih tempat ketiga. Bermula dari situ, perasaan untuk mendalami bidang pemuisian ini kian mendalam. Namun, semasa di sekolah rendah peluang untuk menceburi bidang ini terhad dan harapan kian terkubur.

 

Walaubagaimanapun, impian yang hampir terkubur itu kembali bersinar ketika berada di sekolah menengah. Pelbagai aktiviti yang melibatkan kelab dan persatuan diwujudkan bagi mengcungkil bakat-bakat pelajar. Dari situlah penulis dapat mengasah bakat yang terpendam. Semasa di sekolah, "Bulan Bahasa" adalah bulan yang ditunggu-tunggu oleh penulis kerana banyak aktiviti yang diminati oleh penulis dianjurkan. Penulis tidak melepaskan peluang untuk mengikuti aktiviti tersebut dari tahun ke tahun. Antara aktiviti yang pernah disertai penulis ialah syarahan/pidato, perbahasan, forum remaja, pantun dan paling diminati dan wajib disertai setiap tahun ialah deklamasi sajak. Penulis juga diberi peluang oleh guru untuk membuat persembahan mendeklamasikan sajak bagi majlis-majlis tertentu. Sepanjang tempoh persekolahan, banyak yang penulis belajar mengenai puisi ini dari guru-guru, senior dan rakan-rakan.

 

Ketika di universiti, penulis cuba untuk melibatkan diri dalam bidang pemuisian ini. Namun, terdapat beberapa kekangan yang menghalang penulis untuk mengaktifkan diri dalm bidang ini. Walaupun tidak berapa aktif, penulis dapat juga melepaskan rasa ingin bersajak apabila dipanggil untuk membuat persembahan di dalam majlis-majlis yang dianjurkan oleh Kelab Pujangga dan Persatuan Pendidikan. Terima kasih kerana memberi peluang untuk menajamkan kembali bakat yang telah kian lama tumpul. 

 

Justeru itu, dengan adanya Pentas Puisi ini sedikit sebanyak dapatlah penulis mengasah kembali bakatnya yang kian terpendam dan juga dapat berkongsi serba sedikit coretan puisi-puisi penulis.

Hak Cipta Terpelihara © 2015 Pentas Puisi

bottom of page